Oleh: Jaafar Wahid
PENAMPANG: Skuad Bawah 19 (B19) Sabah melakukan permulaan yang baik bermain di tempat sendiri apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching City FC dalam saingan Piala Belia di Stadium Penampang kelmarin.
Gol tunggal kemenangan pasukan B19 Sabah itu dijaringkan oleh Mohd Ekhwandy pada minit ke-63 dengan tendangan padu di depan pintu gol Kuching FC dan gagal diselamatkan oleh penjaga gawang.
Selepas jaringan itu Sabah gagal mencipta peluang yang benar-benar mengancam kubu lawan.
Kuching FC cuba membuat asakan, bagaimanapun serangan mereka dapat dikawal oleh pertahanan pasukan B19 Sabah.
Pengurus pasukan B19 Sabah Jamawi Jaafar berkata, kemenangan di tempat sendiri itu sangat diperlukan oleh pasukan setelah terpaksa berkongsi mata apabila seri 0-0 dalam pelawanan pertama menentang pasukan Polis FC di padang Sime Darby Bukit Jelutong minggu lepas.

Jamawi
“Saya percaya kemenangan ini merupakan pembakar semangat para pemain B19 Sabah untuk lebih dahagakan kemenangan pada perlawanan akan datang,” katanya
Jamawi mengakui memang masih banyak ruang yang perlu diperbaiki tetapi beliau yakin pasukan B19 Sabah akan terus bertambah baik dengan bimbingan barisan jurulatih yang diketuai Johnny Dominicus.
Skuad B19 Sabah akan meneruskan cabaran menentang PJ City di Stadium MPJJ Selangor pada 18 Mac depan.