Mempromosi Sabah Melalui FIlem

filem-1.jpg

Joniston menerima barangan promosi ‘Craze Below The Wind’ daripada Chester Pang.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pihak Lembaga Pelancongan Sabah memuji usaha pembikin filem tempatan mempromosikan negeri dan destinasi luar bandar dalam karya mereka.

Pengerusinya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, langkah itu adalah usaha yang baik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelbagai tarikan yang ada di Sabah, dan merangsang rasa ingin tahu mereka terhadap negeri ini.

Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian ketika menerima rombongan yang diketuai oleh penerbit filem Chester Pang, di sini, pada Rabu.

Rombongan itu yang bertujuan membincangkan mengenai potensi pelancongan filem di negeri ini dan perancangan mereka untuk mempamerkan daya tarikan Sabah melalui filem dan pembikinan video promosi yang mampu menarik minat orang ramai melawat Sabah.

Antara karya yang dalam proses penghasilan ialah video pendek ‘Discover Kiulu’ dan filem komedi dalam bahasa Mandarin ‘Craze Below The Wind’.

Joniston berkata, Kiulu, sebagai contoh, telah dipilih oleh Kerajaan Negeri sebagai model pelancongan luar bandar dan tidak lama lagi Kiulu akan mempunyai pusat informasi pelancongan.

“Kita juga berharap agar destinasi-destinasi lain menjadi inspirasi para pembikin filem untuk dipaparkan dalam karya produksi filem. Kebanyakan produk luar bandar adalah hampir sama. Oleh itu, pembikin filem juga harus mencari tarikan baharu untuk ditonjolkan,” tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada Borneo, Joniston berkata, Sabah perlu membezakan dirinya daripada Sarawak dan Kalimantan, di mana pembangunan ibu negara baru Nusantara sedang dilaksanakan.

Tambah beliau, Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan penerbit filem tempatan untuk mempromosikan elemen and aspek pelancongan Sabah.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah penerbit dan pengarah Froggy Planet, Katak Chua, timbalan presiden Persatuan Pelancongan Kiulu Lasmen Lopuk, wakil Pro-Merge Vision, dan pengarah filem tempatan Ramli Carlo.

Penggambaran untuk ‘Discover Kiulu’ dijangka siap pada penghujung bulan ini, kata Chester, yang merupakan penerbit dari Can Bah Production.

Katanya, video promosi berdurasi 90 saat itu juga bakal dipertontonkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Bagi filem ‘Craze Below The Wind’ yang berdurasi 90 minit, ia bakal ditayangkan pada bulan Mei.

Diterbitkan oleh Can Bah Production, ‘Craze Below The Wind’ mengisahkan tentang dua beradik yang berdepan dengan masalah dan terpaksa mengembara ke seluruh Sabah dengan membawa beg pakaian misteri.

Chester berkata bahawa filem itu, yang ditangguh sejak 2020 akibat pandemik, akan ditayangkan di 53 pawagam, termasuk di Brunei.

Sementara itu, Katak berkata filem tersebut telah mendapat sambutan positif semasa ujian tayangan, dengan tujuh daripada 10 responden menyatakan minat untuk melawat Sabah.

“Pembikinan filem itu melibatkan seramai 52 krew, dan 80 peratus daripada mereka adalah rakyat Sabah. Kami mahu mempromosikan pelancongan melalui industri perfileman kerana ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kami berharap Lembaga Pelancongan Sabah dapat bekerjasama dengan pembikin filem untuk menjayakan industri pelancongan filem di negeri ini,” kata pengarah filem itu.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top