TONGOD; Pada awal 90-an, Tongod, sebuah pekan kecil di tengah-tengah Sabah, kira-kira 270 km dari Kota Kinabalu, secara literalnya merupakan kawasan terpencil ekonomi dan hampir tidak mrmpunyai kemudahan perhubungan sepenuhnya.
Satu-satunya mercu tanda fizikal untuk diperkatakan mengenai kawasan penempatan terpencil yang kurang bernasib baik ini pada masa itu ialah bangunan pejabat daerah lama, rumah rehat kerajaan dan loji rawatan air yang masih belum beroperasi sepenuhnya.
Bagaimanapun, cadangan kerajaan untuk mewujudkan perbandaran baharu di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000 telah membawa harapan dan masa depan baharu bagi Tongod kerana ia merupakan salah satu daerah di negeri ini yang diperuntukkan untuk cadangan projek transformasi luar bandar berimpak tinggi.
Pada 1998, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (SEDCO), telah ditugaskan oleh kerajaan negeri untuk membina rumah kedai di Tongod yang dijalankan oleh salah sebuah anak syarikat milik penuhnya, Perkasa Realty Sdn Bhd (PRSB).
Kerajaan negeri juga melantik Lembaga Perumahan dan Kemajuan Bandar untuk menyelaras pelaksanaan program perbandaran baharu di Sabah.
Pengurus Besar PRSB Joidin Gahim berkata kejayaan SEDCO dan PRSB dalam memodenkan daerah luar bandar terpencil seperti Tongod adalah sangat penting, kerana ia membantu kerajaan melaksanakan salah satu program transformasi luar bandar yang utama.
“SEDCO, sebuah agensi negeri di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian Negeri dan di peringkat Persekutuan, bergabung dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Persekutuan, menubuhkan PRSB pada tahun 1977 dengan peranan utama untuk membangunkan rumah kedai dan menyediakan kemudahan pinjaman mudah kepada usahawan Bumiputera,” Joidin memberitahu Bernama.
SEDCO siap membina 12 unit pertama rumah kedai satu tingkat atau kedai SEDCO di Tongod pada 2001 dan lapan lagi rumah kedai dua tingkat pada 2019, yang kini dikenali sebagai SEDCO Tongod Plaza.
Penyertaan SEDCO dalam penubuhan perbandaran baharu di Sabah direalisasikan melalui penubuhan syarikat milik penuhnya, PRSB, yang turut terlibat dalam membawa pembangunan sosioekonomi masyarakat usahawan Bumiputera di negeri ini, iaitu mempertingkatkan pemilikan premis perniagaan mereka.
Rumah kedai SEDCO kini telah menjadi mercu tanda penting di banyak bahagian di Sabah, iaitu di Kinabatangan, Beluran, Beaufort, Sook, Nabawan dan Pitas.
Sehingga 2020, PRSB telah melaksanakan lebih 80 projek sosio-ekonomi, termasuk pembinaan 1,353 unit rumah kedai di seluruh Sabah, yang sebahagian besarnya menjadi pemangkin kepada penciptaan perbandaran baharu.
“Sebahagian besar rumah kedai dijual kepada usahawan Bumiputera yang layak, manakala selebihnya dimiliki PRSB dengan sebahagiannya disewakan,” katanya.
Joidin berkata projek infrastruktur dan komponen bangunan PRSB dibiayai melalui pinjaman dan geran daripada negeri, manakala Kerajaan Persekutuan turut menyediakan geran dan subsidi.
“Insya-Allah, walaupun dalam keadaan kelembapan ekonomi semasa akibat pandemik Covid-19, kami sedang serius meneroka beberapa inisiatif kepelbagaian sambil meneruskan perniagaan teras kami,” katanya.
Beliau berkata, 20 rumah kedai SEDCO di Tongod dimiliki oleh usahawan Bumiputera, manakala pekan itu sendiri kini menjadi gmbaran kepada aktiviti perniagaan yang berkembang pesat disokong kemudahan infrastruktur yang sangat diperlukan, termasuk sekolah menengah, balai polis dan hospital.
Matsaidi Minting, 55, pengurus operasi PRSB yang terlibat dalam pembinaan rumah kedai SEDCO di Tongod berkata beliau agak terkejut apabila tiba di sana pada 1996.
“Tempat itu tenang dan kelihatan lebih seperti ‘dunia yang hilang’ kerana kemudahan yang ada hanyalah bangunan pejabat daerah lama dan rumah rehat. Malah loji rawatan airnya masih dalam pembinaan.
“Pemandangan darat fizikal Tongod lama adalah tipikal daerah luar bandar yang mundur di Sabah dan ketiadaan kemudahan komunikasi menjadikan tempat itu hampir terputus dari seluruh dunia. Tempat terdekat untuk mencari kemudahan sedemikian ialah di Telupid, iaitu kira-kira 75 km jauhnya,” katanya.
Menurut Matsaidi, kampung terdekat di sekitar Tongod ialah skim penempatan semula di Kampung Magatang kira-kira sepuluh kilometer jauhnya.
Beliau berkata, bahagian paling mencabar bagaimanapun adalah melalui perjalanan darat dari bandar Telupid ke Tongod, sama ada melalui jalan tanah merah sepanjang 75km atau trek pembalakan sepanjang 100 km.
“Kami (PRSB) sepatutnya membina 12 unit pertama rumah kedai setingkat dalam tempoh sembilan bulan, tetapi mengambil masa 24 bulan, kerana kelewatan menghantar bahan binaan dari pekan Telupid ke Tongod.
“Lazimnya kami menggunakan jalan tanah merah kerana jaraknya yang lebih pendek tetapi ia memberi banyak masalah kepada kami terutama ketika hujan sehingga menyebabkan lori yang membawa bahan binaan tersangkut dalam lumpur,” katanya mengenang zaman lampaunya di situ.. – Borneo Post