Melabel masyarakat Suluk di Sabah keseluruhannya sebagai PATI adalah satu penghinaan

zaki-susanto.jpg

Zaki

Kongsi Bersama

TAWAU: Isu berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah adalah masalah yang telah berlarutan agak lama dan seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Walaupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah pernah ditubuhkan pada 11 Ogos 2012, isu berkaitan PATI terus menjadi barah yang menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat tempatan kerana bimbang dengan implikasi kehadiran mereka.

Lebih menggusarkan, wujud sentimen negatif terhadap mereka yang berketurunan Suluk di Sabah kerana sering dianggap PATI secara keseluruhannya.

Mohd. Zaki Harry Susanto, aktivis masyarakat yang juga bekas Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) berkata, tindakan melabel masyarakat Suluk sebagai PATI secara keseluruhannya adalah tidak tepat dan terpesong daripada sejarah sebenar.

“Menurut pakar sejarah dari Brunei, masyarakat berketurunan Suluk dikesan telah berada di Sabah lebih awal daripada tahun 1800-an.

“Mereka menduduki perkampungan di pesisir laut dan tinggal secara bersama dengan kaum asal lain di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, ini bererti masyarakat Suluk bukanlah baru wujud di negeri ini. Malah, kaum Suluk tempatan adalah sebahagian daripada Anak Negeri Sabah sepertimana yang termaktub di dalam Ordinan Anak Negeri Sabah (Cap.64).

“Sebagai anak jati Sabah yang berketurunan Suluk, kami menganggap tindakan sesetengah pihak yang melabel masyarakat Suluk sebagai PATI pada keseluruhannya adalah satu penghinaan.

“Kami menyeru agar semua pihak lebih peka dan adil dengan tahu membezakan di antara Suluk tempatan yang juga warganegara Malaysia dengan Suluk bukan warganegara Malaysia. Kami juga mempunyai hak yang sama dengan kaum lain untuk hidup harmoni di negeri ini,” ujarnya.

Zaki turut menambah, adalah tidak wajar melabelkan mana-mana kaum sebagai PATI kerana masalah tersebut bukanlah menjurus kepada ras, agama atau negara asal semata-mata. Menurutnya, masalah PATI sebenarnya secara jelas menjurus kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 (Akta 155).

“Suka saya kongsikan, secara teknikal PATI adalah individu yang masuk atau tinggal secara haram di sesebuah negara iaitu tidak mempunyai permit, tidak masuk melalui pintu utama yang sah sekali gus tidak mengikuti undang-undang imigrasi. Malah, mereka yang masuk secara sah tetapi tinggal di negara ini melebihi tarikh visa yang diberikan atau yang gagal memperbaharui permit kerja juga adalah PATI jika memilih untuk terus tinggal di negara kita.

“Persoalannya, RCI berkaitan masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah pernah mengesyorkan agar Urus Setia Tetap diwujudkan bagi mengatasi masalah pendatang tanpa izin di negeri ini.

“Malah KSN ketika itu mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa tetap berkenaan yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah sekali gus akan melaporkan kepada Jemaah Menteri Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri. Jadi, adakah jawatankuasa tersebut telah berfungsi dan sejauh manakah keberkesanannya?” tanya beliau.

 

Berita asal: Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top