MCA Sabah menyokong penuh pelantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk memimpin gabungan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan MCA Sabah Lu Yen Tung menyatakanpendirian parti itu seiring dengan semangat BN yang selalu dititikberatkan oleh gabungan itu.
Lu menambah bahawa pelantikan Bung Moktar dibuat oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, oleh itu, dalam menegakkan semangat BN, MCA menyokongnya.
Pelantikan itu juga katanya akan memberi autonomi kepada BN Sabah untuk membuat pilihan terbaik dan merumuskan strategi yang paling berkesan.
“Kita mesti mengatasi lawan politik kita dengan cara satu lawan satu untuk meningkatkan peluang kemenangan kita dalam PRN ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain MCA dan Umno, gabungan BN Sabah juga terdiri daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September untuk Pilihan Raya Negeri Sabah, dengan pencalonan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September.