MCA nafi tarik diri daripada bertanding pada PRN Sabah

Datuk-Teah-Heok-Kuin.jpg

Datuk Teah Heok Kuin

KOTA KINABALU: Pengerusi MCA Sabah, Datuk Teah Heok Kuin menafikan dakwaan yang mengatakan MCA akan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Beliau menyifatkan khabar angin itu sebagai tidak berasas dan berpunca daripada pihak berkepentingan yang cuba menggugat perpaduan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Beliau menegaskan bahawa MCA Sabah sentiasa menjadi komponen penting dalam BN dan akan terus bertanding dibawah panji BN bagi memperjuangkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sabah.

Mengenai dakwaan bahawa MCA mungkin dinasihatkan untuk menarik diri daripada bertanding, beliau menyatakan bahawa ia sama sekali tidak berasas dan menegaskan bahawa MCA Sabah akan bertanding dengan penuh komitmen serta bekerjasama erat dengan UMNO dan parti komponen lain demi kemenangan BN.

“Khabar angin yang tidak benar ini bukan sahaja bertujuan memecahbelahkan BN dari dalam, tetapi juga boleh mengelirukan pengundi.

“Kami menyeru orang ramai untuk membuat pertimbangan yang rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berlandaskan fakta ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa MCA Sabah sentiasa mengekalkan hubungan erat dengan parti-parti komponen BN dan percaya bahawa hanya melalui perpaduan yang kukuh, mereka dapat mencapai kejayaan dalam PRN akan datang serta membawa kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat Sabah.

Selain itu, Teah menyatakan bahawa BN Sabah telah bersiap sedia untuk menghadapi PRN dan akan mengatur strategi yang berkesan bagi mencapai kemenangan yang lebih besar.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan pilihan terbaik kepada pengundi melalui gerak kerja kempen yang mantap dan terus memacu pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau juga mengecam tindakan pihak tertentu yang menyebarkan maklumat palsu dan cuba mencetuskan perpecahan.

Teah menegaskan bahawa MCA Sabah tidak akan terpengaruh dengan usaha sedemikian, sebaliknya akan lebih bersemangat dalam menjalankan kerja-kerja kempen bagi memastikan kejayaan BN dalam PRN yang bakal diadakan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top