MCA menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan sebagai menteri kewangan untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran negara di tengah desas-desus mengenai rombakan kabinet.
Malaysiakini semalam melaporkan jurucakap parti itu, Mike Chong berkata Anwar sebaliknya perlu melantik menteri kewangan kedua yang boleh memberi tumpuan kepada hal-hal ekonomi, sekali gus membolehkan Anwar memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negara.
Dia berkata Anwar perlu mengambil langkah itu memandangkan rakyat pada masa ini dihimpit kenaikan kos sara hidup dan pendapatan tidak meningkat, sedangkan kerajaan tiada arah tuju ekonomi yang jelas.
“Berikutan itu, kami menyeru Perdana Menteri mempertimbangkan untuk mengambil pilihan yang disebutkan di atas untuk memberi tumpuan yang lebih baik dalam menyelesaikan dilema ekonomi negara,” katanya.
Chong dilaporkan berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa.
Chong yang baru-baru ini dipilih sebagai timbalan ketua Pemuda MCA, turut mencadangkan agar Anwar memecat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu kerana didakwa hanya menimbulkan kontroversi dan gagal melaksanakan tugas mereka.
Menerusi kenyataan dalam versi bahasa Cina, Chong juga meminta Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ditukar.
Dia mendakwa Rafizi gagal mengukuhkan ekonomi negara dan pendapatan rakyat, sebaliknya meminta orang ramai memasak sendiri di rumah dan tidak makan di luar.
Untuk rekod, dalam wawancaranya dengan Malaysiakini pada Sept lalu, Rafizi tidak menggesa orang ramai untuk memasak di rumah.
ADS
Rafizi berkata orang ramai menjadi ‘ketagih’ untuk makan di luar sehingga mengurangkan pendapatan boleh guna mereka.
Bagaimanapun kata Rafizi, rakyat tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya menyalahkan perkara itu kerana dasar kerajaan terdahulu.
Selain itu, Chong berkata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pula gagal menyelesaikan masalah kekurangan telur dan beras yang dihadapi negara.
“Dia bukan sahaja gagal menghalang masalah ini daripada berlaku, malah juga gagal menangani kenaikan harga barangan keperluan harian yang mendadak,” katanya.
Sementara itu, Chong berkata Nga perludigugurkan daripada kabinet kerana terus bertindak seperti ahli politik pembangkang walaupun kini menjadi menteri.
Dia merujuk tindakan Nga memalukan mendiang aktres Hong Kong, Lydia Shum semasa ceramah dalam kempen pilihan raya kecil di Pelangai dan meletakkan logo DAP pada cek olok-olok ketika menyampaikan sumbangan kerajaan kepada beberapa sekolah.
“Dia telah mencemarkan imej kabinet dengan teruk dan merupakan salah seorang menteri yang mesti dipertimbangkan untuk digantikan,” kata Chong.