MBS Serah Memorandum Belanjawan Negeri 2021 Kepada Ketua Menteri

MBM-Sabah.jpg

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyerahkan memorandum Belanjawan Negeri 2021 kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Presiden MBS Ahmad Farid Sainuri berkata Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan menyambut baik pandangan dan cadangan yang dikemukakan badan gabungan terbabit.

“Ketua Menteri memaklumkan sebahagian input MBS terutama ekonomi belia dan modal insan sudah terangkum dalam belanjawan yang akan dibentangkan minggu hadapan.

“MBS berterima kasih dengan Ketua Menteri kerana mengiktiraf komitmen MBS dan golongan belia di negeri ini,” katanya, selesai membuat kunjungan hormat pada Jumaat.

Farid berkata MBS akan terus menyantuni golongan belia termasuk mengadakan aktiviti dan program bersama kerajaan selaras dengan nasihat dan pandangan Ketua Menteri.

Turut menyertai kunjungan hormat rombongan MBS ke Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya berkenaan, termasuklah Pengerusi Tetap MBS Mazlan Joehari Manan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top