Mayat wanita Filipina ditemui dengan kesan tetakan

bunuh-di-membakut.jpg

Lokasi kejadian mayat mangsa ditemui dengan kesan tetakan di kawasan belukar ladang kelapa sawit, Kampung Ulu Bambangan, Membakut, Beaufort. - Foto Sinar Harian

Kongsi Bersama

BEAUFORT: Remuk hati seorang suami apabila menemui isterinya dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan tetakan pada anggota badan di kawasan belukar ladang kelapa sawit, Kampung Ulu Bambangan, Membakut, dekat sini pada Isnin.

Mayat wanita warga Filipina berusia lingkungan 30-an itu ditemukan kira-kira jam 11.30 pagi dalam keadaan tangan kanan hampir putus, kesan kelar pada leher dan luka di bahagian dahi kanan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang ketika turun bekerja di ladang sawit tempatnya bekerja.

“Mayat mangsa ditemui oleh suaminya sendiri selepas seluar hitam milik mangsa ditemui di kawasan kebun kelapa sawit tersebut.

“Ahli keluarga berusaha mencari mangsa di sekitar penemuan seluar mangsa dan akhirnya berjaya menemui mayat mangsa di belukar berhampiran dengan kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan kejadian itu pemeriksaan dan siasatan segera dilakukan oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah terhadap mayat di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati tapak tangan sebelah kanan mangsa hampir putus, terdapat kesan luka bahagian dahi sebelah kanan dan kesan kelar di bahagian leher yang dipercayai kesan kecederaan akibat ditetak dengan senjata tajam.

“Hasil siasatan juga berjaya membuat tangkapan terhadap tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia lingkungan 30 hingga 40-an bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, dengan tertangkapnya empat suspek tersebut siasatan diteruskan bagi mengesan suspek lain.

“Empat suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas D9, Unit Anjing Pengesan K9 dan Unit Forensik JSJ IPK Sabah,” katanya. – Sinar Harian

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top