BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang, di Kampung Kuridak Gadong, semalam ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam parit, pagi tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Qays Izhar Abd Halim ditemui pasukan operasi pada 10.23 pagi, kira-kira 70 meter dari kawasan kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada 10.30 pagi, semalam.
Katanya, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.
“Pada 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat kanak-kanak terbabit ditemui penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi.
Yusoff Zaki berkata, mayat kanak-kanak itu sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.
Katanya, mangsa dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.
“Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya. – FMT