KOTA KINABALU: Menjelang kurang seminggu proses Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), khabar angin bertiup kencang apabila penyandang Kerusi Parlimen Kota Marudu sejak 1995, Datuk Seri Maximus Ongkili dikatakan berpindah kerusi ke Parlimen Tuaran.
Astro AWANI melaporkan Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang buat pertama kali akan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyerahkan kerusi Parlimen Kota Marudu kepada muka baharu.
Jika khabar angin ini benar, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu akan berentap dengan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau yang merupakan penyandang kerusi parlimen itu.
Parlimen Tuaran terdiri daripada Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Sulaman, Kiulu dan Pantai Dalit.
Perpindahan Maximus ke kerusi Parlimen Tuaran dilihat sebagai laluan mudah kerana DUN Sulaman dipegang Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Bukan itu sahaja, DUN Tamparuli juga disandang Timbalan Presiden PBS merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah selain, DUN Kiulu juga kerusi PBS dimenangi Datuk Joniston Bangkuai (Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar).
Maximus sebelum ini berdepan cabaran besar daripada komponen GRS apabila Ketua Bersatu Bahagian Kota Marudu yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan Bersatu dan memutuskan bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu.