PENAMPANG: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menghadapi kesukaran berkomunikasi berikutan gangguan kesihatan yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu.
Perkara itu dijelaskan Timbalannya, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Maximus untuk menyampaikan ucapan dasar presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-38, di sini, kelmarin.
Penjelasan itu sekali gus merungkai persoalan mengenai keadaan sebenar bekas Ahli Parlimen Kota Marudu itu yang mendiamkan diri sejak beberapa bulan lalu termasuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan parti.
Maximus turut hadir pada majlis itu bersama Penasihat Perdana PBS yang juga bekas presiden parti itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Berikutan keadaan itu, Dr Joachim berkata, Maximus meminta maaf kepada perwakilan dan semua ahli PBS kerana tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.
Bagaimanapun, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, keadaan kesihatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak) itu kini semakin baik.
“Tahap kesihatannya semakin baik dan ini dibuktikan dengan kehadirannya hari ini. Namun, beliau dengan rendah diri memohon jutaan kemaafan kerana masih tidak dapat berkomunikasi dengan baik dan meminta saya membacakan ucapan dasarnya,” katanya.
Maximus tidak kelihatan dalam mana-mana program sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu yang disandangnya selama enam penggal.
Sementara itu, dalam ucapan dasarnya yang dibacakan Dr Joachim, Maximus berkata, satu Jawatankuasa Semakan Perlembagaan PBS diwujudkan bagi menyemak semula perlembagaannya termasuk menstruktur semula persidangan perwakilan kepada tiga tahun sekali berbanding secara tahunan ketika ini.
Katanya, satu sayap baharu pergerakan parti untuk ahli wanita muda turut dicadang diwujudkan sebagai antara pembaharuan akan dilaksanakan PBS.