Maximus Minta Sabah Buat ‘Aduan Tulen’ Berkaitan 40% Hasil Negeri

maximus.jpg

Maximus Ongkili (tengah) bersama setiausaha agung PBS Joniston Bangkuai pada dialog bersama sekumpulan profesional di Kota Kinabalu semalam.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah perlu membuat aduan “tulen” berhubung 40% hasil yang dikutip oleh Putrajaya daripada negeri itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Katanya, beliau boleh menyelaras untuk mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu sekiranya terdapat aduan mengenainya kepada kerajaan pusat.

“Hanya selepas itu (terima aduan), barulah saya boleh memanggil mesyuarat, saya tidak boleh sesuka hati memanggil mesyuarat.

“Tidak boleh hanya mengadu sana sini, mesti ada aduan yang tulen. Sebagai penandatangan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) kerajaan negeri harus membuat aduan,” katanya pada majlis ramah mesra dan sesi dialog golongan profesional di sini, semalam.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menegaskan kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menuntut 40% hasil yang dikutip oleh kerajaan pusat daripada negeri itu, walaupun peruntukan mengenai perkara itu dinafikan oleh Putrajaya.

Beliau yang juga menteri kewangan Sabah berkata, kerajaan negeri akan meneruskan rundingan berhubung perkara itu kerana ia menjadi asas tuntutan dalam MA63.

Hajiji mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang sebelum ini dilaporkan berkata, peruntukan 40% itu tidak lagi wujud.

Katanya, perkara itu adalah pandangan kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan negeri berpendirian ia masih hak Sabah dan perlu terus dituntut bersama perkara lain yang tersenarai dalam tuntutan MA63. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top