Maut dilanggar selepas keluar dari kenderaan terbabas

kematian.jpg

(Gambar hiasan)

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut apabila dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika berada di tengah jalan raya selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 35 Jalan Lahad Datu – Sandakan kelmarin.

Menurut Kosmo! Online kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 38 tahun yang memandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara bersama seorang penumpang lelaki berusia 30 tahun datang dari arah Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kenderaan dipandu mangsa terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum masuk ke lorong bertentangan lalu terlanggar bahagian tepi sebuah lagi kenderaan jenis Ford Ranger dipandu lelaki berusia 49 tahun yang datang dari arah Sandakan.

Menurutnya, kejadian mengakibatkan kenderaan Nissan Navara terpusing arah Lahad Datu, manakala kenderaan Ford Ranger terbabas di sebelah kiri jalan.

“Bagaimanapun, sewaktu pemandu dan penumpang kenderaan Nissan Navara keluar dari kenderaan dan berada di tengah jalan raya. Tiba-tiba datang sebuah lagi kenderaan jenis Isuzu D Max yang dipandu lelaki berusia 47 tahun dari arah Lahad Datu, terlanggar pemandu Nissan Navara yang sedang berdiri di tengah jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Lahad Datu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut beliau, pemandu dan penumpang kenderaan lain terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Sampel darah mangsa dan penumpang serta pemandu kenderaan yang terbabit turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia, Lahad Datu bagi ujian alkohol dan dadah,” ujarnya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top