TAMPARULI: Penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap anggota masyarakat bagi membestarikan diri dan keluarga masing-masing.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, kemudahan ICT dan kepakaran ilmu dalam teknologi maklumat perlu diguna pakai masyarakat tanpa mengira umur ke arah perkara yang lebih positif.
“Kembangkanlah ilmu tersebut, bawa pulang dan ajar semua ahli keluarga yang masih belum berkemahiran,” katanya.
Saranan beliau itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar, yang mewakili beliau merasmikan Program Kursus Mobile ICT tajaan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi di Balai Muhibbah Kampung Kionsom, dekat sini kelmarin.
Turut hadir Pengerusi JPKK Kampung Kionsom, Jamuni Mandakal, para pemimpin masyarakat Tamparuli, dan wakil perserta, Primus Kinsam.
Sementara itu, Jilias berkata, program seumpama itu sangat baik diadakan dan memohon agar kawasan (mukim) lain akan turut diambil kira untuk mengadakan kursus yang sama kelak.
Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan pihak Kerajaan untuk orang ramai mendapat manfaat kemudahan ICT hingga ke peringkat kampung, yang memberi gambaran betapa komitednya Kerajaan dalam menjayakan hasrat ini.
Terdahulu, Pengerusi Pusat e-Desa Topokon, Yatimah Razimin, yang juga penyedia latihan sepanjang dua minggu program berkenaan, merakamkan penghargaan terhadap komitmen yang diberi oleh semua peserta program berkenaan.
Katanya, kursus sebanyak 12 kelas itu diadakan sejak 20 Februari.
Program itu merupakan anjuran bersama Pusat e-Desa Topokon, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kionsom dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Topokon. – Warta Oriental