KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan bahawa masyarakat bukan Melayu terutamanya bangsa Cina menganggap kempen boikot KK Mart sebagai tindakan buli.
Kata Menteri Pengangkutan itu, mereka (orang Cina) tidak melihat langkah Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh bertujuan menjuarai agamanya tetapi taktik membuli kepada peniaga bukan Melayu.
“Saya tahu isu ini sangat sensitif kepada umat Islam tapi bila ada serangan ataupun kenyataan keras, tindakan boikot yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin kepada bukan Melayu mereka lihat ini sebagai taktik buli.
“Bukan Melayu tidak lihat dia nak menjuarai agama dia (Islam) tetapi (melihatnya) sebagai taktik membuli peniaga bukan Melayu.
“Persepsi itu saya tak kata betul atau tidak, tapi persepsi Cina ini satu tindakan buli,” jelas Ahli Parlimen Seremban itu dalam audio-siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Jumaat.
Anthony juga tidak menolak hakikat bahawa terdapat jurang sangat besar antara DAP dan Umno.
“Walaupun DAP-Umno adalah partner in government tapi saya tak nafikan realitinya bahawa masyarakat memang ada perbezaan dari segi pemahaman terhadap satu sama lain dalam konteks masyarakat majmuk, ia sangat kurang.
“Dalam kes stoking ini, saya tekankan…sebagai pemimpin politik kita harus membina jambatan.
“Boleh tegur, boleh tunjuk ajar dalam konsep masyarakat majmuk tak perlu tindakan amaran yang berlebihan,” kata beliau.
Sumber: Suara TV