Masukkan Pesta Kaamatan Dalam Cuti-Cuti Malaysia, Langkah Terbaik Pelihara Budaya – Jafry

jafry.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Usaha memasukkan cuti Pesta Kaamatan dan Gawai dalam perancangan Cuti Cuti Malaysia dilihat mampu mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau yakin dan percaya ini antara langkah terbaik dalam usaha memelihara kebudayaan dan adat agar kekal sehingga generasi akan datang.

Beliau juga melihat langkah ini akan menyokong usaha kerajaan negeri dalam mendepani pasca Covid-19 khususnya dalam industri pelancongan.

Katanya, pelbagai acara kebudayaan diadakan semasa Pesta Kaamatan termasuk pertandingan nyanyian Sugandoi, pertandingan ratu cantik ‘Unduk Ngadau’dan persembahan kesenian serta kraftangan.

“Saya yakin Kaamatan bukan sekadar pesta budaya, tetapi juga produk penting yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

“Selain menjadi produk pelancongan, perayaan ini juga pastinya menjadi wadah dalam memupuk perpaduan bukan saja bagi masyarakat di Sabah tetapi juga rakyat di seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan keputusan Menteri pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri untuk menerima saranan umum bagi memasukkan cuti Pesta Kaamatan dan Gawai dalam perancangan cuti dalam Malaysia.

Nancy berkata, ini bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia khususnya dari Semenanjung untuk datang menyaksikan sendiri bagaimana budaya Sabah dan Sarawak menerusi sambutan perayaan itu.

Jafry berkata, Pesta Kaamatan mampu menarik pelancong untuk melihat sendiri keunikan etnik dan budaya di Sabah.

Pesta Kaamatan yang dikenali sebagai Pesta Menuai disambut oleh masyarakat Kadazandusun Murut di Sabah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top