PENAMPANG: Masjid di Sabah akan menyediakan tabung khas Palestin bagi mengutip derma sebagai inisiatif untuk membantu umat Islam di negara itu yang menjadi mangsa kekejaman Israel.
Menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sudah diminta menyediakan tabung berkenaan di semua masjid pada setiap Jumaat.
“Pengarah JHEAINS sudah diminta untuk membuat tabung Palestin di masjid-masjid dan akan dikutip pada hari Jumaat. Pekeliling juga sudah dibuat seperti mana yang biasa kita lakukan.
“Kita juga akan membuat khutbah yang berhubung dengan Palestin pada hari Jumaat dan sudah dimulakan pada minggu lalu,” katanya selepas menyempurnakan Pesta Buku Sabah 2023, di sini, semalam.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan negeri untuk membantu Palestin.
Sementara itu, satu perhimpunan besar-besaran sebagai simbolik solidariti terhadap Palestin akan diadakan di Dewan Saadah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Sabtu ini.
Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Sabah itu dijadual bermula pada jam 12.30 tengah hari dan dijangka turut disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Antara pengisian program itu ialah rayuan dana kemanusiaan Palestin, pameran solidariti Palestin, ucapan pemimpin NGO dan Ketua Menteri dan perkongsian khas Misi Palestin.
Turut diadakan ialah tayangan Montaj ‘Save Palestine’, persembahan nasyid perjuangan Palestin, puisi Lagu Bumi Palestin dan deklamasi sajak ‘Hari Ini Gaza Bermandi Darah Syuhada’.
Penganjur himpunan itu menjemput semua NGO dan rakyat berbilang bangsa di Sabah untuk sama-sama hadir ke program berkenaan. – BHarian