RANAU: Pembinaan masjid baharu di daerah Ranau dijangka siap April tahun ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata projek itu sepatutnya siap tahun lepas tetapi tertangguh berikutan kegagalan kontraktor memenuhi jangka masa yang ditetapkan.
Katanya, pada penghujung tahun lalu, projek persekutuan yang terbengkalai itu disambung semula dengan kos tambahan kira-kira RM2.68 juta.
“Jika semuanya berjalan lancar, kita berharap masjid baharu ini siap sepenuhnya menjelang April tahun ini,” katanya.
Masidi memberitahu pemberita selepas merasmikan majlis penutupan karnival sukan dan acara Kenduri Kampung anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah bahagian Karanaan di sini pada Ahad.
Sementara itu, Masidi berkata, projek pengambilan sumber air bagi membantu menstabilkan bekalan air ketika banjir yang boleh menyebabkan Loji Jabatan Air Daerah Ranau tersumbat dengan pasir dan lumpur dijangka siap awal tahun depan.
Mengulas projek MRSM Ranau yang telah siap tahun lalu, Masidi berkata MRSM itu dijangka mula beroperasi Mac ini.
Menurutnya, dengan adanya MRSM itu, ia diyakini boleh menjadi “game changer” bagi Ranau khususnya dalam bidang pendidikan.
Diminta mengulas mengenai karnival sukan dan acara Kenduri Kampung, Masidi mengalu-alukan program itu sambil berkata ia bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama ahli parti malah dengan masyarakat setempat. – Jesselton Times