Masiung syor larangan bina bantuan rumah mesra SMJ di atas air dikaji semula

masiung-1.jpg

Datuk Masiung Banah (Gambar fail)

Kongsi Bersama

Oleh: Yussof J. Imbang

SANDAKAN: Larangan membina bantuan rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di atas air wajar dikaji semula bagi memastikan akses pembinaan dapat diterjemahkan kepada golongan sasar mengikut kesesuaian tempat.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, Urusetia SMJ perlu terlebih dahulu meneliti kesesuaian tempat atas air yang tidak mempunyi risiko bencana alam.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Gagasan Rakyat Bahagian Sekong di Dewan Masyarakat Sandakan, selepas merasmikan MAT di Bahagian Karamunting minggu lalu.

”Resolusi MAT kedua-dua bahagian itu adalah sama, mereka meminta kerajaan negeri mengkaji semula polisi supaya rumah SMJ dapat dibina di tapak atas air.

”Banyak projek rumah Mesra SMJ tertangguh pembinaan di kedua-dua kawasan itu hanya kerana kedudukan tapak yang dicadangkan di atas air payau.

”Saya melihat tapak atas air payau di kawasan itu selamat daripada bencana ombak dan air pasang besar kerana kedudukan rumah tradisi penduduk di situ terlindung dengan dataran dan pulau berdekatan,” jelasnya.

Menurut beliau, sudah menjadi tradisi turun-temurun kebanyakan penduduk di Sekong dan Karamunting membina rumah di atas air payau dan tidak pernah berlaku sebarang bencana alam melibatkan tsunami atau ombak pasang besar.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengesa kerajaan negeri melonggarkan syarat agar pembinaan rumah SMJ dapat dibina di atas air yang tidak berisiko.

Masiung mahukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB) Sabah mengkaji semula polisi tersebut agar rumah SMJ boleh dibina mengikut keperluan golongan sasar.

Beliau memberi contoh, bangunan kerajaan atau rumah atas air sudah menjadi teradisi di Sabah seperti di daerah Tuaran, Menumbok, Tawau dan perkampungan Pulau Gaya di Kota Kinabalu yang dilengkapi bangunan sekolah, masjid dan bangunan milik kerajaan.
“Ramai penerima bantuan rumah SMJ tidak memiliki tanah di dataran. Satu-satunya lot yang mereka ada cuma tapak rumah atas air,” kata ADUN Kuamut itu.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri, Hajiji Noor mengumumkan, pembinaan rumah mesra SMJ akan dinaikan kepada 40 buah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri tahun depan berbanding 20 buah sebelum ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top