Masiung Ingatkan Pemimpin Peringkat Kampung, Jangan Bersekongkol Dengan Pengedar Dadah

masiung.jpg

Masiung (kiri) meninjau bahan yang dipamerkan di progam Intregasi Sosial Rumah Komuniti Tongod.

Kongsi Bersama

TONGOD: ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah mengingatkan kepada pemimpin di peringkat kampung, supaya tidak sama sekali  bersekongkol dengan pengedar dadah luar yang masuk ke kampung untuk mengedar bahan terlarang itu.

Beliau berkata demikian dalam program Intregasi Sosial Rumah Komuniti Tongod, anjuran bersama AADK Daerah Sandakan dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Tongod, di sini, kelmarin.

Masiung berkata, walaupun gejala dadah ini bukanlah satu perkara yang baharu, termasuk di Tongod, namun beliau yakin kegiatan itu masih dapat ditangani melalui kerjasama masyarakat setempat terutama pemimpin kampung.

“Saya mahu,  jika ada penduduk kampung yang menyedari kehadiran pengedar-pengedar ini di kawasan tuan-tuan, maka saya mohon kerjasama supaya melaporkannya kepada ketua kampung atau kepada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat khabar angin, bahawa ada pemimpin-pemimpin kampung yang sengaja membiarkan kehadiran pengedar dadah di kawasan mereka, malah ada yang sanggup menyewakan rumah di kawasan kampung sendiri untuk kegiatan haram tersebut.

Mengulas mengenai perkara itu, Masiung berkata, “Walaupun perkara ini hanya khabar-khabar angin, tetapi saya tegaskan di sini, jika ia benar-benar berlaku, tidak kira apa jawatan kamu, siapa pun kamu, sila letak jawatan kerana anda bukan contoh pemimpin yang baik kepada masyarakat.”

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) seterusnya berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM10,000 telah diberi kepada PEMADAM Daerah Tongod untuk menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan bahaya dadah.

“Kita mahu langkah pencegahan awal diambil supaya masyarakat tidak terjerumus dengan penagihan dadah,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top