Masiung beri keterangan kepada SPRM berhubung video tular

Masiung.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pagi tadi untuk memberi keterangan berhubung video tular yang dikaitkan dengannya.

Masiung, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), tiba di pejabat SPRM pada jam 9.00 pagi. Beliau menghabiskan masa dua jam setengah untuk membantu siasatan.

“Kehadiran saya adalah bukti komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM. Pegawai SPRM bersikap profesional sepanjang sesi ini, dan saya berpuas hati dapat membantu siasatan,” katanya selepas keluar dari pejabat SPRM pada jam 12.30 tengah hari.

Beliau turut menyeru pihak berwajib untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan dalam video tersebut, yang menurutnya telah disunting secara berat sebelah sebelum disiarkan.

“Rakaman itu tidak mencerminkan cerita sebenar, malah telah ditokok tambah. Saya berharap SPRM juga memanggil individu yang merakam dan menyunting video itu untuk menyerahkan versi rakaman asal,” ujarnya.

Masiung menyatakan kesediaannya untuk dipanggil semula pada bila-bila masa tanpa sebarang alasan.

Beliau juga percaya wujud campur tangan politik oleh pihak pembangkang yang cuba menjatuhkan Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebahagian daripada konspirasi untuk melemahkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

“Pembangkang jelas tergugat dengan kecemerlangan Belanjawan Sabah 2025 bernilai RM7.421 bilion yang tidak pernah mereka capai semasa mentadbir dahulu,” katanya.

Beliau menyeru rakyat di kawasan Kuamut untuk bertenang dan tidak membuat spekulasi berlebihan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top