Masih ramai jadi mangsa ‘scammer’ akibat panik, tamak

datuk-jauteh.jpg

Datuk Jauteh (gambar fail)

Kongsi Bersama

PUTATAN: Masih ramai dalam kalangan masyarakat hari ini yang terpedaya hingga menjadi mangsa tipu daya ‘scammer’akibat sikap panik dan tamak.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, lebih 1,000 kes membabitkan scammer dilaporkan di Sabah antara Januari hingga November tahun ini dengan anggaran kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Katanya, walaupun sudah banyak kempen kesedaran dan peringatan disebarkan pihak berkuasa, namun masih ramai yang terpedaya.

Menurutnya, sikap orang ramai menjadi punca utama hingga terpedaya dengan scammer dan ia bukan sahaja melibatkan rakyat biasa, malah golongan berpangkat tinggi turut tertipu.

Beliau berkata, golongan scammer tidak memilih siapa mangsa mereka sama ada yang berpangkat tinggi atau rendah kerana puncanya mudah rasa panik apabila menerima panggilan dan kedua disebabkan tamak.

“Disebabkan mahu mendapat sesuatu yang lebih, ada yang sanggup melaburkan wang yang banyak kepada scammer sebelum semua wangnya hilang,” katanya.

Jauteh berkata demikian kepada media selepas program Perbincangan Townhall dan Karnival Keselamatan Jalan Raya anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, Pejabat Parlimen Putatan dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Khamis.

Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur.

Katanya, selain berkaitan jenayah scammer, perbincangan townhall itu turut menyentuh mengenai isu penyalahgunaan dadah, khususnya yang membabitkan pelajar sekolah.

Terdahulu, pada sesi perbincangan townhall bersama Shahelmey dan Kasim, Jauteh mendedahkan ramai golongan sudah bekerja tertipu dengan tawaran kerja sambilan secara atas talian.

Menurutnya, di Sabah, sebanyak 43 kes dilaporkan tahun ini membabitkan kerugian sebanyak RM836,000, berbanding 36 kes pada tahun lalu dengan jumlah kerugian RM904,000.

“Mangsa yang tertipu ini kebanyakannya berduit kerana sudah bekerja, tapi tamak kerana mahu mendapat pendapatan lebih. Apabila ditawar keuntungan lumayan melalui kerja sambilan secara atas talian mereka mudah terpedaya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan kes yang diterima PDRM, kes penipuan atau scammer masih meningkat dan ia dijangka berterusan selagi orang ramai tidak bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan penipuan.

Sehubungan itu jelasnya, program seumpama itu terus dilaksanakan bagi mengingatkan dan memberi info kepada orang ramai supaya sentiasa bersiap siaga dengan apa juga panggilan yang tidak diketahui pemanggilnya.

Beliau berkata, apa yang paling penting adalah untuk bersedia menghadapi kesan penggunaan teknologi yang semakin canggih yang akan dimanupulasi oleh scammer bagi memperdaya orang ramai.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan semua agensi berkaitan dalam membendung jenayah scammer dan penyalahgunaan dadah daripada terus berleluasa di negeri ini.

Katanya, semua pihak perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menangani kedua-dua isu itu di Sabah. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top