KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan dua Adun negeri.
Pertemuan yang berlaku di tengah-tengah dakwaan skandal rasuah di negeri ini sedang hangat diperkatakan terus menarik perhatian umum.
Menurut Malaysiakini, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan pertemuan itu berlangsung di Putrajaya.
Sebelum itu dia dihubungi Malaysiakini untuk mendapatkan komennya mengenai gambar pertemuan tersebut.
Dalam gambar berkenaan kelihatan Masidi bersama Anwar dan Hajiji serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Ariffin Arif.
“Sekadar pertemuan rutin biasa,” kata Masidi ketika ditanya mengenai butiran perjumpaan berkenaan.
Menjelaskan lebih lanjut, Masidi berkata, selain dirinya, Hajiji dan Arifin, ada ramai lagi yang menyertai pertemuan tersebut termasuk wakil dari kementerian kerajaan persekutuan.
Menurut Malaysiakini pihaknya telah menghubungi Ariffin dan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan mereka.
Untuk rekod Anwar setakat ini belum memberikan reaksi terhadap video terbaru itu, namun sebelum ini menegaskan bahawa tiada sebarang perlindungan diberikan terhadap siasatan SPRM.