KOTA KINABALU: Tawaran Parti Warisan (Warisan) untuk bekerjasama PBS dan STAR tidak menampakkan tanda-tanda mendapat sambutan daripada kedua-dua parti itu setakat ini.
Demikian pandangan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun.
“Apa yang saya nampak setakat ini, daripada ucapan pemimpin kedua-dua parti nampak gayanya mereka tidak minat (dengan tawaran Warisan),” katanya.
Masidi berkata, jika kedua-duanya tidak berminat, tiada apa lagi yang boleh dibincangkan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan Sebah berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah, di Dewan Hakka, Likas, pada Khamis.
Kenyataan Masidi itu adalah sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Warisan Datuk Mohd Azis Jamman yang berkata partinya hanya berminat bekerjasama dengan dua perti tersebut yang tidak terpalit dengan isu intergriti.
PBS dan STAR merupakan dua daripada lapan komponen GRS.
Ditanya mengenai kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengatakan GRS menolak pelawaan untuk bekerjasama, Masidi menjelaskan bahawa beliau secara peribadi tidak tahu mengenai perkara itu.
“Perkara ini sudah dijawab oleh beberapa pemimpin GRS. Saya tidak tahu, secara peribadi saya tidak tahu menahu ada jemputan daripada mereka untuk perbincangan,” katanya.