Masalah bekalan air di KK selesai bulan ini – Shahelmey

bekalan-air.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dalam proses menstabilkan bekalan air di kawasan ibu negeri, Putatan dan Penampang, bagi mengurangkan gangguan yang dialami pengguna.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, proses itu yang turut membabitkan penyelarasan semula agihan air dari beberapa loji rawatan air (LRA) yang membekal air ke ketiga-tiga kawasan itu dijangka siap pada bulan ini.

Katanya, pelaksanaan proses itu sejajar penambahan bekalan sebanyak 30 juta liter sehari dari LRA Telibong 2 Fasa Dua di Tuaran yang sudah mula disalurkan ke kawasan Sepanggar dan utara Kota Kinabalu.

Tambah beliau, sambungan ke dalam jaringan membenarkan lebih kurang 30 juta liter sehari daripada 80 juta liter sehari tambahan kepada jumlah air untuk diagihkan di kawasan Sepanggar dan utara Kota Kinabalu.

“Apabila ini sudah dilakukan, bekalan air terawat dari LRA Moyog (Penampang) boleh fokus kepada Kota Kinabalu dan LRA Kasigui (Penampang) boleh fokus di Putatan.

“Insya-Allah, kita akan dapat menstabilkan keadaan air di sekitar Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang, dijangka dalam Februari ini juga,” katanya.

Menurut BHarian Shahelmey berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kerja pemulihan bekalan air di sekitar ibu negeri dan daerah berhampiran, di sini.

Ketika ini, gangguan bekalan air menjejaskan ribuan pengguna di sekitar Sepanggar dan utara bandar raya Kota Kinabalu, termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS), selain daerah berhampiran termasuk di Putatan.

Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata ketika ini banyak tangki pengagihan bekalan air tidak dapat diisi berikutan gangguan tekanan air akibat kekurangan bekalan dari LRA sebelum ini.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan pengguna masih tidak menerima bekalan, namun dijangka pulih selepas JANS dapat membina semula tekanan yang mencukupi untuk menyalurkan air ke semua tangki melalui proses penstabilan bekalan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top