KUALA LUMPUR: Masalah banjir di beberapa kawasan di Tuaran dijangka selesai tidak lama lagi. Demikian kata Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) di Dewan Rakyat.
Madius dalam pertanyaan bukan lisannya meminta KASA menangani masalah banjir yang membelenggu rakyat di beberapa kawasan di Parlimen Tuaran setiap kali musim tengkujuh.
“Apakah langkah-langkah agar tempat-tempat bermasalah banjir di Parlimen Tuaran seperti di Giling Laut, Pekan Tenghilan, Sungai Damit, Pogun Lawid dan Topokon tidak lagi berlaku,” soal beliau.
Dalam jawapan bertulisnya berkata, kementeriannya telah memohon Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Giling, Tuaran dengan kos sebanyak RM36 juta dalam Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malayasia Ke-12 (RMKe-12).
“Projek ini dijangka akan dapat mengurangkan isu banjir di kawasan di kawasan Giling dan jalan raya utama Tuaran ke Kota Kinabalu dan memberi faedah seramai 10 ribu orang.
“Bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan Pekan Tenghilan, Kampung Sungai Damit, Pogun Lawid dan Topokon, kajian sedang dijalankan iaitu Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Pekan Tuaran yang telah diluluskan dalam RMK-12 dengan kos kajian RM2.5 juta.
“Kajian ini dalam peringkat penyediaan terma rujukan atau Term of Reference (TOR) dan dijangka perolehan data ukur secara LIDAR akan dimulakan pada tahun 2022,” kata beliau.