Masa Musa Telah Berlalu – Anifah

anifah-aman-thumbnail.jpg
Kongsi Bersama

Bekas menteri luar dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman berkata sudah tiba masanya bagi abangnya, bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman memberi peluang kepada muka baharu untuk mentadbir Sabah, sekiranya menang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau dipetik Bernama berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi politik di Sabah.

“Sebagai rakyat Sabah, saya menghargai apa yang Musa telah lakukan, tetapi saya fikir masanya telah berlalu.

“Biar orang baharu mengambil alih. Musa abang saya, saya sayang beliau, tetapi (dalam) politik (ia) berbeza,” katanya.

DUN Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 Sept ini.

Musa sebelumnya mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri baru tetapi Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN atas permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada PRU14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi menjadikan jumlah 73 DUN di Sabah pada PRN akan datang.

Terdahulu, Anifah yang juga bekas ahli parlimen Kimanis berkata akan bertanding pada PRN Sabah.

Jelasnya, partinya PCS akan bergerak ‘solo’ dalam menghadapi PRN Sabah akan datang.

Beliau berkata parti itu sedang menentukan calon terbaik untuk diletakkan bertanding di sekurang-kurangnya separuh daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“…yang penting PCS harus menang, negeri kita harus ditadbir oleh anak-anak Sabah, ramai yang mahu berjuang bersama kita,” katanya.

Anifah selanjutnya dipetik Bernama berkata PCS sebagai parti tempatan Sabah perlu diberi sokongan padu supaya dapat menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

Anifah juga mendakwa beberapa wakil rakyat yang keluar daripada parti pemerintah sebelum ini telah menunjukkan minat menyertai PCS

“Kita tidak kata tidak terima, kita kena hormat juga, tetapi kita akan nilai mereka,” katanya yang tidak mahu mendedahkan wakil rakyat berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PCS bertanding di 18 kerusi namun tidak memenangi sebarang kerusi.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top