MAS Rekod Peningkatan Tempahan Tiket Ke Sabah

MAS-flight.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kadar tempahan tiket penerbangan bagi syarikat Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan peningkatan selepas kerajaan negeri melonggarkan syarat ujian calitan COVID-19 kepada pengunjung yang mahu datang ke Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Izham Ismail berkata, jualan tiket bagi penerbangan ke Kota Kinabalu merekodkan jumlah tertinggi untuk MAS sepanjang tempoh Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang berakhir baru-baru ini.

Katanya, Sabah adalah hab penting bagi MAS, dan jumlah penerbangan mingguan ke Kota Kinabalu turut ditingkatkan dari 68 kepada 75 penerbangan bermula November hingga Disember tahun ini.

Menurutnya, MAS juga akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu bermula 1 Disember ini.

“Kami juga membuat persediaan untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa yang dijangka tahun depan untuk membawa masuk pelawat antarabangsa ke negara ini dan seterusnya ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin di Akademi MAB Petaling Jaya Selangor kelmarin.

Sementara itu, Jafry berkata, hasil jualan tiket penerbangan yang memberansangkan itu menjadi petunjuk industri pelancongan semakin pulih dan ramai rakyat Malaysia masih bersemangat untuk melawat Sabah.

“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sentiasa bersedia bekerjasama dengan MAS untuk mewujudkan semula penerbangan terus domestik dan antarabangsa ke Sabah.

“Kami menyasarkan untuk melihat ketibaan pelawat meningkat selepas sekian lama industri pelancongan terhenti, dan ini tidak akan dicapai tanpa bantuan daripada syarikat penerbangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat pertemuan dengan delegasi MAS adalah sebahagian daripada penglibatan berterusan STB dengan syarikat-syarikat penerbangan.

Pada 19 November lepas, perwakilan STB yang diketuai oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pengerusi STB mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Riad Asmat bagi membincangkan rancangan masa depan syarikat penerbangan tambang murah itu untuk Sabah.

Selain itu, perancangan sama turut dibuat untuk mengadakan pertemuan dengan pengurusan syarikat penerbangan Malindo Air.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman dan Ketua Pegawai Pemasaran STB Tay Shu Lan.

 

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top