Martabatkan Pendidikan Dengan Memanfaatkan Teknologi – Shahelmey

shahelmey-1.jpg
Kongsi Bersama

PUTATAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, komputer riba merupakan keperluan para pelajar dalam menjalani proses pembelajaran norma baharu di masa pandemik ini.

“Kita faham generasi sekarang ialah generasi yang berada dalam era teknologi maklumat, komunikasi dan juga digital. Komputer riba bukan lagi satu kemewahan ataupun kelebihan tetapi ia adalah keperluan untuk para pelajar.

“Dalam usaha menuntut ilmu yang menggunakan teknologi-teknologi secara maya, kita bantu pelajar-pelajar agar proses pembelajaran tidak terganggu,” katanya.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Tanjung Keramat itu berkata, pihaknya sangat menitik beratkan penguasaan ilmu agar ianya dapat membantu masyarakat di masa hadapan.

“Dengan penguasaan ilmu maka seseorang itu boleh mengubah nasibnya dan juga nasib keluarganya. Maka kita menitik beratkan penguasaan ilmu dan proses pembelajaran bagi anak-anak kita,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan komputer riba kepada beberapa orang pelajar yang cemerlang dan kurang berkemampuan sekitar kawasan Tanjung Keramat di Putatan kelmarin.

Untuk rekod, sumbangan komputer riba ini merupakan inisiatif Pusat Khidmat Rakyat N24 dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N24 Tanjung Keramat dalam usaha memartabatkan pendidikan dan mengiktiraf kecemerlangan pendidikan dikalangan pelajar.

Beliau berharap sumbangan ini akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) para pelajar sekaligus dapat menyuntik semangat mereka dalam menimba ilmu.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top