Maritim Tawau Tumpaskan Cubaan Seludup Rokok Dalam Guni Pisang

seludup.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) zon Tawau berjaya mematahkan percubaan menyeludup 28,000 batang rokok kretek yang  disembunyikan di dalam guni berisi muatan pisang, awal pagi kelmarin.

Rokok-rokok itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, berdasarkan maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai di Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau, sebuah bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak bagi mengesan suspek yang” terlibat.

“Pada kira-kira 6 pagi, sebuah bot penumpang yang bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke Jeti CIQ Tawau telah ditahan dan diperiksa di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Jeti CIQ Tawau.

“Seorang juragan lelaki tempatan berusia 33 tahun bersama seorang penumpang wanita warga Indonesia berumur 48 tahun berada di dalam bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Shahrizan, pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa bot terbabit telah menemukan 28,000 batang rokok kretek, yang disembunyikan di dalam guni berisi muatan pisang yang dipercayai cuba diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Juragan bersama penumpang serta bot dan muatannya ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Nilai rampasan keseluruhan termasuk rokok kretek, bot beserta enjin dianggarkan RM43,000.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top