Maritim Malaysia Tahan Dua Bot Kargo Cuba Seludup Keluar Barang Kawalan

maritim.jpg

Anggota Maritim Malaysia bersama barangan yang dirampas dalam Ops Sejahtera di perairan Tawau.(Foto: APMM)

Kongsi Bersama

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan dua bot kargo tempatan yang membawa muatan barang kawalan tanpa kebenaran dalam dua siri operasi berasingan di sekitar perairan daerah ini minggu lepas.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM100,000.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya menjalankan Ops Sejahtera dan menahan kedua-dua bot terbabit yang dipercayai bergerak dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas sebuah bot kargo di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau mendapati seorang lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun bertindak selaku juragan dengan membawa muatan barangan runcit.

Beliau berkata, pemeriksaan menyeluruh ke atas bot itu menemukan lebih 1,680 kilogram gula pasir dan 1,258 kilogram minyak masak peket yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit.

“Hasil pemeriksaan dokumentasi mendapati juragan itu gagal mengemukakan permit serta kebenaran yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan barang kawalan yang dibawa.

“Dalam kes berasingan, sebuah lagi bot kargo dengan muatan barang runcit turut ditahan di kedudukan 1.8 batu nautika Selatan Kampung Titingan dekat sini.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot kargo itu menemukan sejumlah 27 unit tong gas liquefied petroleum gas (LPG) yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan dokumentasi mendapati juragan lelaki warga Indonesia berumur 44 tahun bersama seorang pembantu juragan, lelaki warga tempatan berumur 29 tahun gagal mengemukakan permit dan kebenaran berkaitan barangan kawalan yang dibawa.

Katanya, kedua-dua bot ditahan bersama juragan dan dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu jelasnya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan timur Sabah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top