Maritim Malaysia tahan bot seludup 375 liter petrol tanpa permit

diesel-rampas.jpeg

Rampasan 15 tong mengandungi 375 liter petrol yang dibuang oleh suspek ke dalam laut.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 375 liter petrol tanpa permit yang sah hasil penahanan sebuah bot di perairan Sandakan di sini.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi di kawasan perairan berhampiran mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Bertindak dengan kejadian, pihak Maritim Malaysia kemudian mengarahkan bot suspek untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Juragan bot terbabit tidak memberikan kerjasama dan memecut laju sambil bertindak membuang 15 tong dipercayai barang kawalan iaitu minyak petrol ke laut.

“Suspek kemudian menuju ke perairan cetek berhampiran daratan dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan mendapati suspek menggunakan enjin sangkut 40 kuasa kuda yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Pasukan Maritim Malaysia kemudian merampas 15 tong yang mengandungi 375 liter petrol, enjin sangkut dan bot dengan jumlah rampasan keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM16 ribu.

“Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu katanya, Zon Maritim Sandakan juga berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan dalam satu lagi tangkapan berasingan Isnin lalu.

Katanya suspek dipercayai melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu nama nakhoda tidak sama dengan lesen bot. – Utusan Borneo

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top