ππ¨πππ§: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot nelayan yang membawa muatan barang kawalan bersubsidi tanpa permit sah, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak atas maklumat risikan ketika sedang melakukan rondaan Op Pluto Timur di sekitar perairan Kudat pihaknya berjaya mengesan dan memeriksa bot berkenaan di kedudukan sekitar 0.6 batu nautika timur muara Marina Kudat sekitar jam 1.20 pagi.
Hasil pemeriksaan mendapati tiga individu yang mengendalikan bot berkenaan terdiri daripada seorang tekong warga tempatan manakala dua kru warga Filipina dalam lingkungan umur 34 hingga 46 tahun.
Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 80 tong berwarna biru disyaki mengandungi minyak petrol dianggarkan sebanyak 1,600 liter dibawa di atas bot berkenaan tanpa permit yang sah.
Kesemua suspek ditahan bersama bot dan barang rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM100,000 dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan bersubsidi dengan niat untuk melakukan kesalahan dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.
Berikutan kejadian itu, pihak Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepadaMaritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.