TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan pelbagai barangan serta produk kosmetik serta kesihatan tanpa permit yang sah di perairan Tawau, awal pagi 31 Disember.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia melalui Ops Sejahtera / Ops Pluto Timur berjaya mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Perairan Tawau pada kedudukan 0.4 batu nautika Selatan Kuala Sungai Tawau.
Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan tersebut mendapati seorang lelaki yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah bertindak sebagai juragan bot tersebut.
“Pemeriksaan menyeluruh selanjutnya menemukan pelbagai barangan dan produk dari negara jiran seperti kain batik, krim kecantikan dan kapsul pelangsing badan yang dipercayai untuk diseludup masuk ke Tawau bagi pasaran tempatan.
“Juragan bot gagal mengemukakan permit membawa barang barang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bot, muatan serta juragan bot tersebut yang memaklumkan berusia 18 tahun seterusnya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tawau untuk disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Peraturan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM200,000.
Katanya, statistik tangkapan Zon Maritim Tawau telah merekodkan 65 kes tangkapan pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2022.
“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di 089 752116 atau talian kecemasan 999.