Maritim Malaysia Labuan Rampas Dadah Hampir Satu Kilo

maritim-labuan-dadah.jpg

RAMPASAN: Dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM50,000 berjaya dirampas pasukan Maritim Malaysia.

Kongsi Bersama

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan merampas satu bungkusan dadah disyaki jenis syabu bersama sebuah bot gentian di perairan Menumbok dekat sini.

Pengarah Zon Maritim Labuan Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Katanya, hasil penggeledahan berjaya menemukan dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat lebih kurang 900 gram bernilai sekitar RM50,000 yang disembunyikan di dalam bot terbabit.

Menurutnya, bot terbabit dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan rondaan OP Sejahtera 1/2006, OP Benteng Laut Timur 1/2020 dan OP Kuda Laut 2/2020 di perairan kepulauan ini.

“Sebaik dihampiri, bot terbabit bertindak memecut laju melarikan diri menuju ke kawasan Tanjung Klias Menumbok.

“Suspek berjaya meloloskan diri namun hasil pencarian di kawasan sekitar berjaya menemukan sebuah bot gentian kaca yang ditinggalkan suspek.

“Dadah beserta bot gentian kaca itu dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, usaha mengesan pemilik serta dalang yang terlibat akan dijalankan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan hukuman sewajarnya.

Sehubungan itu katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan terbabit boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian 087-427999. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top