KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup daging spesis terancam dipercayai penyu dan balat di perairan Kudat, Ahad lalu.
Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak dengan maklumat risikan, aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan OP Sejahtera, OP Naga Timur, OP Perkasa Putih dan Op Tiris 3.0 digerakkan bagi mengesan sebuah bot yang dilaporkan sedang melakukan aktiviti mencurigakan di kawasan pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan, Kudat sekitar pukul 5.00 petang hari berkenaan.
“Semasa dihampiri, bot terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bagi mengelakkan daripada ditahan pihak penguat kuasa Maritim Malaysia.
“Sebaik tiba di lokasi, pihaknya menemukan 23 guni daging penyu kering dianggarkan seberat 160 kilogram serta 52 guni balat kering dengan anggaran berat 500 kilogram yang dicampak oleh suspek dari bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, kesemua rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM200 ribu itu diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki cubaan menyeludup spesis haiwan dilindungi.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Maurice turut memaklumkan Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kerana melakukan beberapa jenis kesalahan di kedudukan lebih kurang 1.85 batu nautika tenggara Tagumamal Laut, Kudat, Sabtu lalu.
“Hasil operasi bekenaan berjaya menahan dua individu yang mengendalikan bot yang juga warga tempatan berumur lingkungan 17 dan 27 tahun.
“Kedua-dua suspek bersama bot serta hasil tangkapan ditahan dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak mempunyai lesen perikanan dan menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau juga meminta masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain membantu Maritim Malaysia melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – Utusan Borneo