Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup barang kawalan ke negara jiran

rampas.jpg

Barang-barang kawalan yang dirampas oleh Maritim Malaysia daripada bot suspek.

Kongsi Bersama

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya merampas sejumlah barangan kawalan dalam satu serbuan terhadap sebuah bot di sekitar 1.0 batu nautika barat laut Pulau Guhuan, Banggi di sini kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, operasi dilaksanakan pada jam 3 pagi selepas mengesan pergerakan bot mencurigakan yang bergerak ke kawasan perairan sempadan Filipina.

“Bertindak dengan maklumat risikan, bot ronda Zon Maritim Kudat yang sedang melaksanakan rondaan Op Tiris serta Op Khas Pagar Laut segera bergerak ke lokasi kejadian sebelum mengesan bot terbabit.

“Semasa cuba merapat untuk pemeriksaan, bot  berkenaan cuba meloloskan diri dan enggan memberi kerjasama terhadap arahan diberikan pihak Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, bot suspek kemudian berjaya dihentikan dan hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan tiga individu termasuk seorang warga tempatan dan dua orang warga Filipina berumur lingkungan 20 hingga 51 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 120 guni dengan 50 kilogram bagi setiap guni beras bersubsidi, 200 guni masing-masing 25 kilogram setiap guni baja Uria, 209 kotak tepung gandum, 15 guni gula dengan 24 kilogram setiap guni dan 25 unit tong gas bagi 14 kilogram setiap tong.

“Kesemua suspek bersama bot dan barang rampasan bernilai lebih RM180 ribu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan membawa keluar barang kawalan ke negara jiran tanpa permit sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga sabah 2002 kerana salah guna syarat lesen,” katanya.

Maurice berkata, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan khususnya barang kawalan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dan pihaknya tidak akan berkrompomi terhadap mana-mana kegiatan jenayah di laut dan harus diambil tindakan undang-undang yang tegas.

“Zon Maritim Kudat menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top