SEMPORNA: Seorang tekong bot nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di barat Pulau Omadal, dekat sini pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim, Amir Shubli berkata insiden berlaku sekitar pukul 8.50 pagi ketika penugasan Operasi Op Pluto Timur.
Menurut Amir, aktiviti haram itu berjaya dipatahkan setelah bot peronda APMM menerima maklumat risikan dan menuju ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota bertugas berjaya mengesan sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di barat Pulau Omadal, Semporna.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot telah bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan cetek di sekitar Pulau Omadal” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam bot mendapati beberapa anak ikan serta botol kaca mengandungi baja disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan.
“Hasil nilai rampasan dianggarkan sekitar RM5,000 dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya,” katanya.
Berita asal: TV3