KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak pernah melantik peguam kontroversi Marcel Jude sebagai peguam parti itu.
Parti itu juga menjelaskan peguam tersebut bukanlah ketua bahagian STAR Tanjung Aru.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Setiausaha Agung STAR, Datuk Guandee Kohoi berkata, “STAR tidak pernah melantik peguam untuk mewakili parti kerana belum ada keperluan.
“Pada masa akan datang, sekiranya parti memerlukan khidmat seorang peguam maka barulah parti akan melantiknya, jika perlu.”
Beliau membuat kenyataan itu sebagai reaksi balas terhadap pelbagai pihak yang melabelkan Marcel sebagai peguam STAR.
Sambil mengaku Marcel menjadi ahli STAR sejak 2017 tetapi tidak aktif, Guandee berkata adalah tidak wajar jika mana-mana pihak menggelar Marcel sebagai peguam parti yang diterajui Datuk Seri Panglima Datuk Dr Jeffrey Kitingan itu.
“Apa yang berlaku adalah peguam itu mewakili seorang ahli STAR yang dihadapkan ke mahkamah dan ahli tersebut sudahpun digantung jawatannya serta-merta susulan laporan polis terhadapnya,”tegasnya.
Nama Marcel menjadi tular berikutan bahagian penghujahannya di mahkamah dalam kes cabul Phillip Among @ Daniel Dell Fidelis dengan membandingkan acara ratu cantik Unduk Ngadau dengan “persembahan lembu eksotik” (exotic cattle show) dan “acara lelong” (auction show).
Perkara itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk aktivis kebudayaan Sabah Aktivis Shireen Sikayun. Setakat ini satu laporan polis juga telah dibuat oleh seorang wanita bernama Audrey Susan Tunggolou.
Dalam kenyataan yang sama Guandee turut menasihati Marcell agar tidak mencampur adukkan keahlian beliau dalam STAR dengan tanggungjawab beliau terhadap pekerjaannya.
“Kita minta agar beliau menjelaskan bahawa kenyataan atau hujah-hujah pembelaan beliau adalah atas landasan sebagai peguam yang diupah dan tidak ada kena mengena sebagai ahli sebuah parti,” katanya.