MAPIM Sabah Saran Sesi Persekolahan Tidak Dilakukan Bersemuka

otoh-sibik.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Negeri Sabah menyarankan agar sesi persekolahan tidak dilakukan secara bersemuka berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) perlu mengambil tindakan itu memandangkan kluster pendidikan semakin banyak berlaku di negeri ini.

Yang DiPertua MAPIM Negeri Sabah, Otoh Sibik Sahak berkata KPM dan JPNS perlu memikirkan jalan yang terbaik untuk kebaikan pelajar dan warga pendidik.

“Bilangan kes baharu semakin meningkat di semua daerah, malah ada yang sudah mencecah tiga angka iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tuaran dan Penampang.

“Jumlah kluster aktif seluruh Sabah pula menjangkau 26 kluster termasuk dua yang baharu diisytiharkan semalam iaitu di Kunak dan Giram,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Otoh Sibik yang juga Timbalan Presiden MAPIM Kebangsaan berkata perkara ini sangat membimbangkan terutamanya ibubapa dan warga pendidik di seluruh negeri.

“Lebih merisaukan banyak kluster pendidikan melibatkan sekolah berasrama termasuklah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Politeknik dan asrama sekolah menengah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu memastikan pemantauan kerap dilakukan supaya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi dengan baik.

“Bagaimanapun, cara yang terbaik ketika ini adalah tidak membenarkan pelajar hadir bersemuka ke sekolah atau institusi pendidikan buat sementara waktu bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan berdoa supaya negara kita bebas daripada wabak COVID-19,” katanya. – Utusan Borneo

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top