KOTA KINABALU: Majlis Malam Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA) yang bakal berlangsung pada 6 September ini, dijangka menjadi platform penting dalam menghargai sumbangan para penulis dan sasterawan di Sabah.
Majlis ini akan mempersembahkan Anugerah Sastera Negeri Sabah, penghormatan tertinggi yang diberikan kepada individu yang memberi impak besar dalam perkembangan sastera negeri.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Aminah Awang Besar berkata, selain Anugerah Sastera Negeri Sabah, majlis berkenaan juga akan menyaksikan penyampaian Hadiah Sastera Sabah kepada 26 penerima yang telah memenangi hadiah untuk pelbagai kategori.
“Bersempena MAPENA juga akan disampaikan hadiah kepada pemenang yang karyanya dipilih untuk memenangi Hadiah Sastera Sabah. Untuk Hadiah Sastera Sabah, ada seramai 26 penerima yang telah memenangi hadiah ini untuk beberapa kategori iaitu kategori buku dan eceran.
“Pemilihan dilakukan oleh panel penilaian dan bagi Anugerah Sastera Negeri Sabah tentu sahaja kita melihat kepada tokoh yang memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan sastera khususnya di negeri Sabah,” katanya menurut laporan Japen Sabah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Aminah juga menjelaskan bahawa tujuan kunjungan tersebut adalah untuk mengundang Tun Juhar hadir ke MAPENA sekaligus menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah yang keempat, Datuk Jasni Matlani.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Timbalan Pengarah II DBP, Julianah Kuli, Penolong Pengarah DBP, Noorzanani Kata, dan Penolong Pengarah DBP, Maslijan Abd. Rasad. – Nabalu News