KOTA KINBALU : Pelancaran manifesto Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka memberi fokus kepada kerajaan bersih serta berintegriti sekali gus bersifat inklusif dan adil.
Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman berkata manifesto itu juga akan merangkumi visi memperkukuh perpaduan, selain menawarkan tadbir urus yang telus sekiranya dipilih menerajui kerajaan dan sesebuah kawasan Parlimen.
Katanya, manifesto itu dapat memenuhi keperluan rakyat di negara ini dan akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
“Kita inginkan pemerintahan yang akan melaksanakan tanggungjawab dengan telus serta memerintah dengan adil dan saksama agar semua lapisan rakyat mendapat manfaat.
“Kita serahkan kepada presiden parti untuk menetapkan tarikh bagi pelancaran manifesto ini yang dilihat ringkas namun memiliki kandungan yang sangat mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam program ceramah dan kempen di Kampung Pulau Sepanggar di sini kelmarin.
Ketika berucap dalam program ceramah serta kempen di pulau itu, Mohd Azis berkata, rakyat kini faham tugas serta tanggungjawab mereka dalam PRU-15 ini.
“Rakyat kini boleh mengakses segala maklumat secara cepat melalui pelbagai medium…Oleh itu jangan percaya kepada kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Dr Maximus Ongkili.
“Mereka cakap Warisan mesra kepada pendatang asing tanpa izin…jika mereka masuk minta undi di kampung ini, rakyat perlu tolak dan jangan beri undi kepada mereka,” katanya.
Mohd Azis menggesa rakyat Sabah agar keluar mengundi beramai-ramai pada 19 November ini sekali gus memastikan Warisan meneruskan perkhidmatannya di kawasan Sepanggar serta seluruh Sabah.- Borneo Today