PAPAR: Pasukan penyelamat telah menemukan mayat mangsa ketiga tragedi lemas di Pantai Kampung Bundusan, di sini, selepas dua hari gerakan mencarinya dilakukan.
Mayat Karl Marx Vitalis, 48 tahun, ditemukan pada jam 12.02 tengah hari Sabtu.
Mangsa dilaporkan dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan anak-anak saudaranya yang sedang berenang bersamanya pada Khamis lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Johainin Ruslan, menyatakan bahawa mayat Karl ditemui kira-kira 1.5km dari lokasi dia kali terakhir dilihat.
“Mayat tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam tragedy pada Khamis itu, dua anak saudara Karl, Rizq Aariz Julkarnain Abd Aziz, 14 tahun, dan Rubern Vitalis, 7 tahun, lemas, manakala seorang lagi anak saudaranya yang berusia 12 tahun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung sejurus selepas kejadian sekitar jam 5 petang itu.
Difahamkan, Karl membawa ketiga-tiga anak saudaranya dari kampung bersebelahan untuk mandi di pantai Kampung Bundusan.
Namun, mereka menghadapi kesukaran di dalam air selepas gelombang dan arus kuat melanda tidak lama selepas jam 5 petang.