PENAMPANG: Seramai 43 mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Suok Batu, Kapayan menerima bantuan bakul makanan, pakaian dan wang ihsan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jafery Jomion.
Dalam lawatan Siti Zailah terhadap mangsa terbabit, beliau diberi penerangan oleh Jafery berhubung keadaan mangsa serta bantuan yang disalurkan kepada mereka termasuk disediakan makanan bermasak selama tiga hari selepas kejadian.
Mangsa kejadian seterusnya akan disediakan peralatan memasak supaya dapat meneruskan kehidupan selepas bencana yang melanda mereka.
Jafery dalam pada itu memohon supaya Siti Zailah mempertimbangkan untuk menyediakan penempatan sementara kepada semua mangsa berkenaan.
“Diharap semua mangsa ini diberikan tempat perlindungan yang lebih sesuai atau seperti rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berbayar dengan bayaran sewa yang lebih rendah.
“Ini bagi memastikan supaya mangsa dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa selepas ini,” katanya selepas mengiringi Siti Zailah melawat mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Dewan Kampung Kibouvang, Kapayan, semalam.