TAWAU: Nasib 364 mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Batu Logpond di sini mendapat perhatian kerajaan Sabah yang mengumumkan bantuan membeli peralatan rumah membabitkan peruntukan RM970,000 selain pemberian wang ihsan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri memberikan bantuan pembelian peralatan rumah RM20,000 kepada 45 rumah yang musnah 100 peratus dalam kejadian kebakaran itu, manakala RM10,000 untuk tujuh rumah yang hangus sebahagian.
“Saya tidak dapat gambarkan perasan mangsa yang terlibat, kita kena cari jalan untuk bina rumah semula, ini pun difikirkan oleh kerajaan dan untuk itu kerajaan akan beri bantuan beli peralatan rumah,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan wang ihsan kerajaan negeri kepada 72 ketua keluarga mangsa kebakaran Kampung Tanjung Batu Laut Logpond, di sini semalam.
Kira-kira 52 rumah terlibat dalam kebakaran yang menyebabkan 364 mangsa terjejas dan tinggal sehelai sepinggang pada kejadian Rabu lepas.
Dalam pada itu, Hajiji berkata menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan penduduk yang diuji bencana terjaga.
“Sebab itu saya sampaikan bantuan RM3,000 tunai pada setiap ketua keluarga, iaitu bantuan RM1,000 masing-masing daripada kerajaan negeri dan Tabung Zakat Majlis Ugama Islam Sabah manakala RM700 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta RM300 daripada Baitulmal,” katanya.