Mangsa Banjir Di Sabah Terima BWI RM1,000

hajiji.jpg
Kongsi Bersama

KOTA MARUDU: Mangsa banjir di negeri ini terutama yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, mangsa yang mengalami kerosakan rumah atau hanyut akibat banjir juga akan diberi bantuan.

Katanya, bantuan untuk kerosakan rumah akan disampaikan kepada mangsa yang terlibat selepas menerima laporan daripada pegawai daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah.

“Pegawai daerah turut diminta membuat penilaian berhubung kerosakan lain seperti jalan raya dan jambatan di kawasan yang terlibat.

“Selepas menerima laporan daripada pegawai daerah, barulah kita boleh tentukan bila bantuan ini akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir memandangkan sekarang ini masih dalam proses penilaian.

“Kita berharap, bantuan yang diberikan ini akan meringankan bebanan mangsabanjir yang terlibat di negeri ini,” katanya kepada media selepas melawat kawasan banjir di daerah ini dan juga Pitas di sini hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan mempertimbangkan cadangan untuk membina pusat penempatan sementara banjir berdasarkan keperluan setiap kali musim banjir.

Hajiji berkata, setiap kali musim banjir, tempat pemindahan ada yang tidak cukup atau tidak ada. Justeru, jika perkara itu menjadi keperluan utama banjir, kerajaan akan memberi perhatian sewajarnya.

Beliau juga menggesa jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat secara keseluruhan usaha untuk mengurangkan impak setiap kali berlakunya banjir.

“Sungai yang sempit perlu dibersihkan dan dibesarkan. Tindakan ini juga mesti dilakukan atau dirancang dari sekarang supaya pada masa akan datang, impak banjir tidak terlalu memberi kesan serta mengurangkan masalah banjir.

“Begitu juga PBT dan JKR, perlu melihat parit-parit yang tersumbat supaya dibersihkan agar aliran air semasa hujan lebat lebih cepat sekali gus mengurangkan risiko banjir, itu yang kita harapkan,” katanya.

Berhubung status projek tebatan banjir, Hajiji menjelaskan, rancangan berkenaan memerlukan kajian mendalam dan peruntukan yang besar.

Menurutnya, perkara itu juga perlu difikirkan oleh jabatan berkenaan untuk jangka masa panjang dalam usaha mengurangkan kesan banjir.

Pihaknya turut mengarahkan jabatan berkenaan supaya membuat satu cadangan atau kajian menyeluruh untuk tebatan banjir kerana keadaan sekarang yang semakin teruk jika berlaku banjir.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top