KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan kembali meningkat pagi ini, sementara mangsa di Johor kekal manakala di Pahang dan Sarawak banjir terus beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa, sejak semalam.
Di Sabah, daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran dan Papar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir pagi ini, selain Pitas, Beaufort dan Paitan yang dilanda banjir sebelum ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat 8 pagi ini jumlah mangsa banjir meningkat kepada 176 orang berbanding 122 orang malam tadi yang dipindahkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.
Di lima daerah terbaharu dilanda banjir itu, 39 mangsa banjir dipindahkan di Kota Kinabalu, Penampang (11) dan Putatan (4) manakala tiada mangsa banjir dipindahkan di Tuaran dan Papar.
“Hujan lebat di beberapa kawasan menyebabkan paras air mula meningkat di daerah terbabit, walaupun tiada mangsa banjir dipindahkan air banjir didapati sedalam 3.03 meter di Tuaran dan 4.89 meter di Papar pada tahap berjaga-jaga dan waspada,” katanya.