Mangsa Air Pasang Besar Pindah Ke Pusat Transit

air-pasang-sandakan.jpg

BEBERAPA penduduk mula membina rumah baharu di kawasan rumah yang runtuh akibat dipukul ombak sewaktu fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan di Kampung Forest hari ini. FOTO Bernama

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Seramai 655 mangsa daripada 114 keluarga yang rumah mereka roboh akibat fenomena air pasang besar di Kampung Forest, di sini, dipindahkan ke pusat transit hari ini selepas berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 sejak seminggu lalu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan Kapten (PA) Abdullah Sabaruddin berkata, daripada jumlah itu, 67 keluarga adalah warganegara dipindahkan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih, di sini.

Beliau yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkata, bagi mangsa bukan warganegara pula, mereka dipindahkan ke Dewan PPR Taman Harmoni.

“Mesyuarat JPBD Sandakan semalam memutuskan bahawa PPS SK Sungai Anib 2 ditutup hari ini memandangkan sesi persekolahan akan bermula pada awal Januari.

“Keputusan JPBD adalah mangsa akan ditempatkan di dua lokasi PPR secara transit bermula hari ini hingga paling lewat pada 31 Januari depan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa proses pemindahan mangsa di PPS berkenaan, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan itu, mangsa diberi masa untuk mencari kediaman tetap.

Katanya, di PPR Batu Putih, setiap keluarga warganegara masing-masing ditempatkan di seunit rumah, manakala di Taman Harmoni setiap keluarga diberikan dua khemah yang disediakan oleh APM.

“Dari segi kebajikan, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah akan menyerahkan bahan (makanan) mentah dan peralatan dapur untuk mereka guna di pusat transit PPR Batu Putih.

“Manakala bukan warganegara pula (di Taman Harmoni) kebajikan mereka diuruskan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS),” katanya.

Katanya, sebanyak 10 kenderaan daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah JPBD Sandakan terbabit dalam proses pemindahan berkenaan.

Fenomena air pasang besar yang melanda pada malam 24 Disember lalu mengakibatkan 110 rumah bertiang atas air di Kampung Forest roboh, namun tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top