SIPITANG : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan berusaha membangunkan aktiviti eko pelancongan di daerah luar bandar Sabah, khususnya di kawasan sempadan seperti di daerah ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu sejajar potensi besar yang bakal dinikmati kawasan sempadan Sabah berikutan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara, Kalimantan.
Katanya, langkah negara jiran itu bakal meningkatkan akses di kawasan sempadan Sabah dan membuka peluang ekonomi yang lebih besar di wilayah ini.
“KKDW akan terus mencari jalan untuk menjana eko pelancongan di kawasan luar bandar Sabah memandangkan potensi besar yang dimiliki apabila pusat pentadbiran kerajaan Indonesia dipindahkan ke Kalimantan.
“Pemindahan itu sudah pasti akan meningkatkan akses dan membuka peluang pembangunan ekonomi yang lebih besar di wilayah ini,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Irau Rayeh Lundayeh Sabah Ke-16 di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), di sini, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Zahid merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementerian itu juga akan meluluskan peruntukan khusus bagi membantu penggiat kraftangan etnik Lundayeh di Kompleks PKLS, di sini.
“Saya berharap sektor kraftangan di Sipitang dapat dimajukan, bahkan dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
“Dengan adanya Kompleks PKLS ini, pelbagai aktiviti kraftangan khususnya membabitkan masyarakat Lundayeh boleh dikembang dan dimajukan,” katanya. – SNT